SEJARAH SEKOLAH RENDAH AGAMA BERSEPADU JOHOR BAHRU:
Sekolah Rendah Agama Bersepadu Johor Bahru atau lebih dikenali dengan nama SRAB JB telah ditubuhkan pada tahun 1999 bertempat di Jalan Kerambit, Taman Sri Tebrau, Johor Bahru. Memulakan operasi dengan hanya dua bilik darjah iaitu seramai 80 orang murid Tahun 1, tenaga pengajar SRAB JB mengorak langkah sebagai satu institusi pendidikan alternatif kepada ibu bapa dan penjaga yang menginginkan perkembangan anak-anak dari aspek duniawi dan ukhrawi yang digarap dalam satu corak pendidikan yang bersepadu.
Pada awal penubuhannya, SRAB JB beroperasi dengan hanya menggunakan sebuah bangunan sahaja. Jabatan Agama Johor telah mengambil alih sekolah tersebut untuk dinaikkan taraf dari segi prasarana asas sesebuah sekolah rendah. Walaupun terdapat beberapa kekurangan diawal penubuhannya, berkat usaha guru-guru yang penuh iltizam dan pemantauan berkala dari pihak Jabatan Agama Johor dan Jabatan Pelajaran Johor, SRAB JB telah dikenali sebagai institusi pendidikan pilihan bagi ibu bapa dan penjaga sekitar Johor Bahru. Ini terbukti dengan pertambahan jumlah permohonan untuk kemasukan setiap tahun melalui ujian kelayakan yang diadakan.
LATAR BELAKANG BILIK OPERASI SPBT SRAB JB
Bilik Operasi SPBT SRAB JB terletak di tingkat dua di blok Wawasan 2 dan mempunyai keluasan bersaiz lebih kurang 207 kaki persegi. Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti rak buku, kaunter, papan kenyataan dan sudut baik pulih.